Bismillahirrahmannirahim,
"Baca sehingga habis"
Terjadi suatu peristiwa, seorang pemuda telah
bertanya kepada guru tasawufnya tentang
perbezaan antara orang-orang syariat dan orang-
orang hakikat dalam memahami agama Islam dan
kenapa ilmu hakikat tidak berkembang luas.
Kemudian sang guru berkata..
“Untuk aku menjawab soalanmu itu wahai muridku,
pergilah bertanya kepada kedua mereka akan dua
persoalan ini iaitu yang pertama, adakah Allah itu
berkuasa dan yang kedua, sembahyang itu apa
hukumnya? Pergilah ke kampung sebelah kerana
disana kamu akan menemui ulama syariat dan
ulama hakikat. Bertanyalah kepada orang-orang
kampung disana untuk mencari mereka.”
Akur atas arahan gurunya itu lantas si pemuda
tanpa banyak bicara terus ke rumah ulama syariat
yang terkenal dikampung sebelah dengan bertanya-
tanya arah rumahnya kepada orang kampung.
Sesampainya si pemuda itu dirumah ulama syariat
tersebut dengan ramah mesra si pemuda diajak
masuk ke dalam rumah yang serba sederhana itu.
Sang ulama syariat kelihatan kemas berjubah putih
dan berserban, ditambah raut wajahnya yang bersih
tanda beliau seorang yang soleh. Si pemuda dilayan
seperti anak sendiri dengan dijamu makan malam
sebelum sesi dialog dijalankan. Usai makan malam
terus sahaja sang ulama syariat memulakan bicara.
“Ada urusan apa sehingga kamu bertandang ke
rumah saya ini wahai anak muda?”
Tanya sang ulama syariat dengan nada yang redup.
“Sebenarnya saya ingin mendapatkan jawapan
diatas dua persoalan yang ingin saya ajukan
berkenaan dengan agama Islam kita ini kepada
ustaz. Soalannya ialah adakah Allah itu berkuasa
dan yang kedua, sembahyang itu apa hukumnya?”
Setelah diam sejenak lalu sang ulama syariat
menarik nafas dalam-dalam dan dengan tenang
memberikan jawapannya.
“Ya, Allah itu memang berkuasa dan sembahyang
itu hukumnya adalah wajib.”
Setelah mendapatkan jawaban daripada ulama
syariat itu maka pemuda itu pulang sambil hatinya
berazam untuk bertemu dengan ulama hakikat pula.
Keesokkan harinya si pemuda mula merayau-rayau
dikampung itu untuk mencari sang ulama hakikat.
Puas bertanya dengan orang kampung maka tengah
hari itu si pemuda bertemu dengan seorang makcik
yang akhirnya bersetuju menunjukkan beliau
dimana sang ulama hakikat berada.
Sesampainya ditempat yang dituju kelihatan seorang
lelaki tua sedang membersihkan halaman rumahnya
yang luas dihiasi taman bunga yang cantik.
Rumahnya begitu besar dan mewah. Sang ulama
hakikat yang berkulit gelap itu kelihatan memakai
pakaian yang agak lusuh berbanding rumahnya yang
begitu mewah. Sudah sepuluh minit si pemuda
berbual-bual ringan dengan sang ulama hakikat
namun kelihatan seolah-olah tiada tanda-tanda sang
ulama hakikat mahu menjemput beliau masuk ke
dalam rumahnya yang mewah itu.
“Ada apa urusan nak jumpa saya ini?”
Tanya sang ulama hakikat itu sambil tersenyum.
Kemudian si pemuda bertanyakan soalan yang sama
sebagaimana yang ditanyakan kepada sang ulama
syariat.
“Sebenarnya saya ingin mendapatkan jawapan
diatas dua persoalan yang ingin saya ajukan
berkenaan dengan agama Islam kita ini kepada
ustaz. Soalannya ialah adakah Allah itu berkuasa
dan yang kedua, sembahyang itu apa hukumnya?”
Kelihatan sang ulama hakikat tersenyum sahaja
mendengar soalan itu lantas dengan tahkik beliau
menjawab..
“Wahai anak muda ketahuilah yang sebenarnya
bahawa Allah itu tidak berkuasa dan sembahyang
itu hukumnya adalah haram.”
Terperanjat besar si pemuda mendengar jawapan
sang ulama hakikat yang bersahaja itu. Sukar
rasanya si pemuda mahu menghadam jawapan yang
baru disampaikan kepadanya itu. Tanpa berlengah-
lengah maka si pemuda itu mohon undur diri
kemudian pulang ke rumahnya dengan seribu
persoalan yang berlegar-legar dibenak kepalanya.
Sebagai seorang muslim taat yang baru hendak
menjinak-jinakkan diri dengan dunia tasawuf, si
pemuda berasa keliru dengan jawaban yang
diberikan oleh sang ulama hakikat. Setahu beliau
pelajaran tasawuf itu bersangkutan dengan ilmu
hakikat dan ma’rifat. Mendengar jawapan daripada
sang ulama hakikat itu membuatkan si pemuda
berasa takut untuk meneruskan pelajaran tasawuf
dengan gurunya dan mengambil keputusan untuk
tidak lagi berguru dengan guru tasawufnya lantas
mengambil keputusan untuk berguru dengan sang
ulama syariat. Beliau mulai meragui perjalanan ilmu
hakikat dan dalam hati beliau bergumam..
“Kalau nak dibandingkan dari segi akhlak pun
akhlak sang ulama syariat lebih bagus daripada
akhlak sang ulama hakikat. Walaupun sang ulama
syariat hidup dalam keadaan sederhana namun aku
dijemput masuk ke dalam rumahnya lantas dijamu
dengan makanan yang enak berbanding sang ulama
hakikat yang kedekut.. sudahlah tidak dijemput
masuk ke dalam rumahnya, setitik air pun tidak
diberinya malah dengan dirinya sahaja pun sudah
kedekut. Lihat sahaja pakaiannya yang lusuh itu.”
Keesokkannya, si pemuda dengan tergesa-gesa
menuju ke rumah sang ulama syariat dan
menceritakan kepada beliau hasil dialognya dengan
sang ulama hakikat. Mendengar penjelasan si
pemuda, sang ulama syariat berasa marah lantas
mengarahkan anak-anak muridnya untuk
menangkap sang ulama hakikat. Maka dengan
sekejap sahaja penduduk kampung itu digemparkan
dengan cerita bahawa sang ulama hakikat itu telah
membawa ilmu sesat dikampung itu.
Sang ulama hakikat dapat ditangkap dengan
bantuan orang-orang kampung. Tangannya diikat
dibelakang lalu dipaksa untuk berjalan. Kelihatan
terdapat segelintir dari orang-orang kampung yang
bertindak memukul muka dan badan beliau serta
tidak kurang juga ada yang melempari beliau
dengan batu-batu kecil kerana tidak dapat menahan
rasa marah. Pun begitu sang ulama hakikat tetap
berdiam namun air matanya tak henti-henti
mengalir. Mungkin beliau menahan sakit.
Tiba dihalaman rumah sang ulama syariat lalu
dengan kasar tubuh sang ulama hakikat yang sudah
tua itu ditolak dengan keras lantas beliau terdorong
ke depan lalu jatuh tersungkur. Si pemuda yang
sedari tadi menunggu dirumah sang ulama syariat
terkejut dengan situasi itu. Beliau tidak menyangka
sampai begitu malang nasib yang menimpa sang
ulama hakikat sehingga diperlaku begitu. Namun
apalah dayanya untuk mengekang kemarahan
orang-orang kampung yang sedang meluap-luap itu.
Kemudian setelah meredakan suasana, sang ulama
syariat menghampiri sang ulama hakikat lalu
bertanya kepada beliau..
“Benarkah anda menjawab ‘Allah itu tidak berkuasa
dan sembahyang itu hukumnya adalah haram’
sebagai menjawab pertanya pemuda ini?” sambil jari
telunjuknya diarahkan tepat pada si pemuda.
Dengan tenang sang ulama hakikat menjawab “Ya”.
Kemudian sang ulama syariat bertanya lagi.
“Adakah anda masih dengan pendirian anda atau
anda mahu bertaubat?”
Tanya sang ulama syariat tegas. Lalu dijawab
dengan tenang oleh sang ulama hakikat..
“Untuk kesalahan yang mana lalu saya perlu
bertaubat wahai hakim?”
“Untuk kesalahan anda yang mengatakan Allah tidak
berkuasa dan sembahyang itu hukumnya haram!”
“Oh begitu.. beginilah tuan hakim, pada saya
jawapan saya itulah yang teramat benar namun jika
tuan hakim tidak menyetujuinya tidak apa-apa dan
terserahlah kepada kebijaksanaan tuan hakim untuk
mengadili saya kerana tuan adalah hakim dinegeri
ini.”
Habis sahaja sang ulama hakikat berkata begitu
lantas beliau dilempari dengan puluhan sepatu oleh
penduduk kampung dan ada juga yang berteriak
agar beliau dibunuh. Sang ulama syariat terdiam
dan merenung dalam seolah-olah memikirkan
sesuatu yang berat. Akhirnya sang ulama syariat
membuat keputusan agar sang ulama hakikat diberi
tempoh sehingga esok untuk bertaubat dan jika
tidak beliau akan dihukum bunuh. Setelah itu sang
ulama hakikat diikat pada sebatang pokok nangka
yang berada dihalaman rumah sang ulama syariat
dalam posisi duduk menghadap kiblat sambil
dikawal oleh beberapa orang-orang kampung.
Kini, saatnya pun telah tiba namun sang ulama
hakikat tetap tidak mahu bertaubat daripada
pendiriannya. Ramai yang merasa pelik dengan
pendirian sang ulama hakikat dan yang lebih kusut
lagi ialah fikiran si pemuda itu. Tiba-tiba si pemuda
merasa kasihan dan merasa bersalah mengenang
keadaan malang yang menimpa sang ulama hakikat
adalah hasil daripada perbuatannya. Namun nasi
sudah menjadi bubur. Perlahan-lahan si pemuda
mendekati sang ulama hakikat untuk memohon
maaf. Aneh.. kelihatan sang ulama hakikat itu
hanya tersenyum dan dengan senang hati mahu
memaafkan si pemuda. Ketika si pemuda itu mahu
beredar tiba-tiba ia mendengar sang ulama hakikat
membacakan sepotong ayat Al Quran dengan nada
yang riang..
“Wa qul jaa alhaq wazahaqol baathil innal baathila
kana zahuuqo.”
Ucap beliau berulang-ulang sambil memandang
kearah seseorang lantas mukanya tiba-tiba kelihatan
berseri-seri dalam senyuman yang menggembirakan.
Si pemuda lantas menoleh kearah orang itu dan apa
yang beliau lihat ialah kelibat bekas guru tasawuf
beliau diantara celahan penduduk kampung yang
ingin menyaksikan hukuman pancung yang bakal
dijalankan. Tak lama kemudian hukuman bunuh
pun dilaksanakan maka tamatlah riwayat sang
ulama hakikat dibawah mata pedang sang algojo.
Seluruh penduduk kampung bersorak gembira tanda
kemenangan dipihak mereka yang berjaya
membunuh seorang pembawa ajaran sesat.
Selang beberapa hari oleh kerana rasa ingin tahu
yang meluap-luap maka si pemuda bersegera
mengadap bekas guru tasawufnya. Si pemuda berasa
hairan mengapa sang ulama hakikat membacakan
ayat 81 daripada surah al-Isra’ seraya melihat
kelibat bekas guru tasawufnya itu?.
“Wahai muridku, marilah duduk dihadapanku ini.”
Ujar guru tasawuf seraya melihat kedatangan
muridnya itu. Si pemuda terkedu.. tidak tahu apa
yang hendak dikatakan. Fikiran terasa kosong dan
segala persoalan yang hendak diajukan terasa tiba-
tiba hilang entah tertinggal dimana.
“Baiklah muridku, atas persoalanmu yang dahulu itu
maka akan aku jawab sekarang ini.”
Lembut sahaja bicaranya.
“Adapun persoalanmu tentang perbezaan antara
orang-orang syariat dan orang-orang hakikat dalam
memahami agama Islam akan aku jawab seperti
berikut. Yang pertama, orang syariat akan
menjawab setiap persoalan melalui ‘bahasa’ ilmu
syariat manakala orang hakikat akan menjawab
setiap persoalan melalui ‘bahasa’ ilmu hakikat.
Jawaban sang ulama syariat adalah benar menurut
‘bahasa’ ilmu syariat dan jawaban sang ulama
hakikat juga benar menurut ‘bahasa’ ilmu hakikat.”
“bagaimana begitu wahai tuan guru?” Tanya si
pemuda.
“Begini… adalah benar apabila sang ulama hakikat
memberitahu kamu bahawa Allah itu tidak berkuasa
sebab melalui peraturan ilmu hakikat, perkataan
‘Allah’ itu adalah dirujuk semata-mata sebagai isim
bagi zat tuhan kita sahaja. Ini bermakna yang
berkuasa pada hakikatnya adalah zat tuhan kita dan
bukannya yang berkuasa itu isimNya. Perkataan
‘Allah’ itu pada hakikatnya adalah gelar bagi zat
tuhan kita. Adapun gelaran itu hakikatnya adalah
khabar maka khabar tiada ain wujud. Jika sesuatu
itu tiada ain wujudnya maka mustahil dikatakan ia
mempunyai kuasa. Adakah kamu faham?”
Si pemuda mengangguk lemah sambil merenung
lantai.
“Adalah sesuatu yang benar juga apabila sang ulama
hakikat memberitahu kamu bahawa sembahyang itu
hukumnya adalah haram.”
“bagaimana begitu wahai tuan guru?” Tanya si
pemuda.
“Begini… sebenarnya tiada ibadat sembah-
menyembah dalam agama Islam namun yang ada
Cuma ibadat solat. Ya, ianya adalah solat dan
bukannya sembahyang. Cuba kamu fahamkan betul-
betul maksud firman Allah dalam surah al-Kafirun
ayat 6 yang bermaksud “Bagi kamu agama kamu dan
bagiku agamaku”. Ini menunjukkan cara ibadat
orang kafir tidak sama langsung dengan cara ibadat
orang muslim. Perkataan sembahyang itu adalah
asalnya terbit daripada upacara ibadat masyarakat
hindu-budha untuk menyembah tuhan yang
bernama Hyang. Maka upacara ibadat itu dinamakan
upacara sembahHyang. Solat itu bukan sembah dan
tuhan kita bukannya Hyang tetapi Allah. Jadi kita
sebagai orang muslim adalah haram sembahHyang
kerana itu adalah ibadat penganut hindu-budha.
Sesungguhnya solat itu bukan sembah tetapi solat
itu ialah sebagaimana yang disabdakan oleh
Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila seseorang
kamu sedang solat sesungguhnya dia sedang
berbicara dengan tuhannya…”.
Si pemuda semakin tertunduk.
“Jadi, adakah kamu sudah faham mengapa sang
ulama hakikat itu berkata bahawa Allah itu tidak
berkuasa dan sembahyang itu hukumnya adalah
haram?”
“Ya tuan guru, sekarang barulah jelas.”
“Yang kedua, orang-orang syariat mempelajari ilmu-
ilmu hukum maka mereka menyelesaikan sesuatu
masalah juga dengan hukum sementara orang-orang
hakikat mempelajari ilmu-ilmu ma’rifatullah maka
mereka menyelesaikan sesuatu masalah juga dengan
Allah.”
Ketika ini lamunan si pemuda menyorot kembali
peristiwa yang telah berlaku dimana kata-kata guru
tasawuf itu ada benarnya juga. Memang benar sang
ulama syariat telah menyelesaikan masalah yang
berlaku dengan hukuman bunuh terhadap sang
ulama hakikat sedang sang ulama hakikat
menyelesaikan masalah antara dia dan si pemuda itu
dengan kemaafan sesuai dengan sifat tuhan yang
Maha Pemaaf dan Maha Pengampun.
“Adapun persoalanmu tentang kenapa ilmu hakikat
tidak berkembang-luas maka akan aku jawab seperti
berikut. Tidak berkembang-luasnya ilmu hakikat
adalah disebabkan masih adanya orang-orang yang
seperti kamu!”
Bentak sang guru tasawuf yang membuatkan darah
si pemuda berderau.
“bagaimana begitu wahai tuan guru?” Tanya si
pemuda.
“Kerana kejahilan kamu dalam memahami hal-
ehwal hakikat terus sahaja kamu tanpa usul periksa
menghukum sang ulama hakikat sebagai tidak betul
dan berburuk sangka terhadap beliau lalu kamu
memfitnahi beliau dihadapan sang ulama syariat
sehingga sang ulama hakikat tertangkap lalu diseksa
dan dipancung oleh kalian. Jika semua ulama
hakikat sewenang-wenangnya dibunuh tanpa usul
periksa justeru kerana itulah ilmu hakikat tidak
berkembang-luas.”
“Tapi tuan guru, bagaimana saya tidak terkhilaf
sedang akhlak sang ulama hakikat itu tidak
mencerminkan beliau sebagai orang yang beragama!
Sang ulama hakikat langsung tidak menjemputku
masuk ke dalam rumahnya yang besar lagi mewah
itu dan langsung tidak memberiku walau setitik air
bahkan dengan dirinya sahaja pun amat kedekut.
Lihat sahaja pakaiannya yang lusuh itu.”
“Awas lidahmu dalam berkata-kata wahai anak
muda! Telahku katakan tadi bahawa kamu memiliki
sifat buruk sangka. Ketahuilah bahawa rumah besar
lagi mewah yang kamu lihat itu bukanlah milik sang
ulama hakikat tersebut sebaliknya adalah milik
majikan beliau dan beliau hanya mengambil upah
sebagai tukang kebun disitu. Adapun pakaiannya
yang lusuh itu maka itu sahajalah harta benda yang
beliau ada dan beliau hidup hanya untuk
mengabdikan dirinya kepada Allah.”
“Bagaimana tuan guru boleh tahu segala yang
terperinci tentang sang ulama hakikat itu?”
Tanya si pemuda hairan.
“Kerana orang yang kalian bunuh itu adalah guru
tasawufku maka dengan itu sebutir lagi permata
yang indah telah hilang. Telahku jawab semua
persoalanmu maka pergilah kamu kepangkuan guru
syariatmu iaitu sang ulama syariat.”
Si pemuda itu terkejut lantas berkata…
“Tapi wahai guruku, aku telah insaf dan ingin
kembali berguru denganmu wahai guruku..
terimalah aku kembali wahai guruku!!”
“Ketahuilah wahai anak muda, aku enggan
mengambilmu adalah semata-mata kerana
keselamatanmu dan bukan kerana aku
membencimu.”
“Aku tidak faham akan maksud tuan guru??”
“Pergi sahajalah kembali kepangkuan sang ulama
syariat kerana kamu akan selamat disana dan jangan
kamu sesekali mengaku aku adalah gurumu kelak
kamu akan mengerti akan maksud tindakanku ini.”
Dengan hati yang berat dan sayu si pemuda berjalan
menuju ke rumah sang ulama syariat untuk berguru
dengannya dan beliau diterima sebagai murid.
Selang beberapa hari, keadaan kampung tiba-tiba
kecoh kembali. Dengar khabarnya seorang lagi
pengamal ilmu sesat telah ditangkap dan kali ini
pengamal ajaran sesat itu berasal dari kampung
sebelah. Dari kejauhan kelihatan berbondong-
bondong orang ramai sedang dalam perjalanan
menuju ke rumah sang ulama syariat sambil
menyungsung seorang lelaki yang telah dikenalpasti
sebagai pengamal atau guru ajaran sesat. Dari jauh
si pemuda dapat saksikan lelaki itu dipukul dan
ditendang malah ada yang membalingnya dengan
batu-batu kecil sehingga pakaiannya koyak-rabak.
Rupa-rupanya lelaki yang pakaiannya telah koyak-
rabak itu adalah sang guru tasawufnya.
Maka mengertilah si pemuda itu akan maksud
tindakkan sang guru tasawuf yang tidak mahu
mengambil beliau sebagai anak murid dan beliau
hanya mampu mengalirkan air mata sambil
menahan sebak melihat sang guru tasawuf itu
diperlakukan seperti itu. Esoknya hukuman pancung
terhadap sang guru tasawuf itu dilaksanakan maka
sebutir lagi permata yang indah telah hilang sirna
dari negeri itu……… Didalam hati si pemuda
merintih..
“Ya Allah.. berapa ramaikah lagi ahli tasawuf yang
mesti dikorbankan semata-mata mahu membuatkan
aku mengerti mengapa ilmu hakikat tidak dapat
berkembang-luas? Cukup Ya Allah cukup kerana
sekarang aku sudah mengerti….”
Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayahnya